BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Monday, November 23, 2009

Mirwana ‘Bumi Akhir Usia’

Setelah hampir 4 tahun tidak menghasilkan album, kini kumpulan Mirwana tampil dengan buah tangan terbaru iaitu sebuah album berjudul ‘Bumi Akhir Usia’. Album ini menghidangkan lagu-lagu terbaru hasil karya dan ciptaan Mirwana sendiri yang jelas menampilkan pelbagai pembaharuan dari sudut persembahan vokal solo dan harmoni berkumpulan yang lebih agresif serta mengetengahkan susunan muzik yang rata-rata bercorak eksperimental pop segar. Selain itu, gaya penampilan dan imej baru yang jauh lebih santai jelas menggambarkan halatuju terkini kumpulan Mirwana yang mensasarkan pendekatan lebih terbuka dalam menyampaikan mesej-mesej positif melalui hiburan kepada pelbagai lapisan masyarakat dari peringkat awal remaja hingga dewasa sebagai kumpulan sasaran utama.
Judul ‘Bumi Akhir Usia’ dipilih sebagai tema album ini adalah bertujuan untuk menyampaikan mesej bercorak kemanusiaan, ketuhanan dan kasih sayang sesama manusia melalui ekspresi lagu-lagu karya dan ciptaan anggota-anggota Mirwana sendiri sekaligus cuba menyuntik kesedaran kepada masyarakat umum berfikir tentang kehidupan manusia sejagat yang kini semakin terancam dengan peperangan, penindasan etnik, gejala sosial, jenayah berleluasa, pencemaran alam sekitar, fenomena bencana alam dan sebagainya yang tanpa ragu mengheret kita kepada kehancuran dunia yang semakin tua dan uzur. Di sini sekali lagi Mirwana mengajak pendengar untuk kembali kepada Tuhan yang Maha berkuasa, pemilik dan pencipta alam semesta ini.

Album yang dinanti-nantikan oleh peminat-peminat Mirwana dan pendengar-pendengar muzik tempatan ini juga membariskan beberapa nama-nama besar dalam industri muzik tempatan yang melibatkan diri dalam pembikinan produk ini seperti Belle Fatah, Yasin Sulaiman, Fauzi Marzuki, Mohar, Trabye, Shazee Ishak, AG Coco, Noh Hujan, Shahrul Ekamatra, Rody Kristal, Zain Almohdzar, Azham Ahmad, Ed Kudeita, Shamir Supaat, Shady ZouqSahara, Bonai, Greg@Syafiq Henderson dan CL Toh. Di dalam album ini Mirwana juga membuat kolaborasi dengan kumpulan Indie popular masa kini iaitu Hujan dalam lagu yang dijangka hit berjudul ‘Tika masanya’. Selain itu, Mirwana juga turut menampilkan Shazee dan DJ Erwan dalam lagu ‘Bumi Akhir Usia’ serta mengetengahkan bakat baru iaitu Edry dari kumpulan Demascus dalam lagu ‘Bukti Cinta’.

Secara keseluruhan, album ‘Bumi Akhir Usia’ ini mengandungi 13 trek lagu yang menghidangkan 10 lagu terbaru bertajuk Muhammad S.A.W. ‘The Arrival’, Andaiku Pergi (Versi Retro), Tika Masanya Featuring Hujan, Fana Pesona, Bukti Cinta Featuring Edry Demascus, Kembali PadaMu, Anugerah Istimewa, Jauh, Bumi Akhir Usia Featuring DJ Erwan & Shazee dan Cahaya Kekasih disamping menampilkan 3 trek lagu bonus iaitu Andaiku Pergi (Versi Original), Jauh (Versi Original) dan Andaiku Pergi (Instrumental).

Mirwana merupakan sebuah kumpulan vokal yang mengetengahkan lagu-lagu ketuhanan, kerohanian dan kemanusiaan tetapi dipersembahkan dengan elemen muzik yang lebih kontemporari dan terbuka. Mirwana terdiri daripada 6 anak muda iaitu Ikram, Along, Naim, Hafiz, Izzat dan Akmal.

0 comments: